Click sini

Dec 20, 2015

BBM 3410 :WACANA BAHASA


Buku Wacana Bahasa merupakan sebuah buku yang telah ditulis oleh Normaliza Abd Rahim dan diterbitkan oleh Penerbit UMT pada tahun 2014. Buku Wacana Bahasa banyak membincangkan mengenai isu-isu yang berkaitan dengan pelajar asing. Terdapat 9 bab dalam buku ini.
Teater kanak-kanak merupakan artikel yang membincangkan mengenai pandangan anak-anak yatim terhadap teater kanak-kanak. Kajian dibuat setelah kanak-kanak menonton teater dan kemudian mereka membuat perbincangan dalam kumpulan yang kecil. Objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti pandangan anak-anak yatim yang menonton teater fantasi dan menganalisis persepsi anak-anak yatim dalam perbincangan bersama dengan rakan-rakan lain. Responden kajian ini adalah seramai 80 orang pelajar yang berumur 4 hingga 14 tahun yang bertempat di sebuah rumah anak yatim di Selangor. Satu persembahan teater fantasi telah dipersembahkan yang berdurasi selama 45 minit dan ianya mengisahkan fantasi seorang budak perempuan yang bernama Dahlia di alam fantasi. Hasil kajian ini mendapati bahawa pelajar memperoleh keyakinan diri, memberikan ruang kreativiti yang lebih luas dalam diri pelajar serta memberi kanak-kanak peluang untuk berfikiran secara lebih kritis. Hal ini menunjukkan bahawa melalui persembahan teater dapat membantu kanak-kanak untuk menajdi seorang yang lebih aktif. Selain itu, melalui cara ini dapat memberikan ruang kepada anak yatim yang selama ini berdiam diri dengan kekurangan mereka untuk memebrikan pendapat.
Penggunaan media teknologi telah membincangkan mengenai galakan pembelajaran secara berkumpulan dengan menggunakan teknologi media. Objektif kajian ini ialah mengenal pasti langkah-langkah serta membincangkan analisis perbualan pelajar dalam membuat aktiviti Satu Shot Klip Video. Kajian ini melibatkan 37 orang pelajar yang menuntut di Universiti Putra Malaysia dalam kursus Kesusateraan dalam Multimedia. Para pelajar diberikan tugasan bagi menyiapkan satu video klip yang menggunakan teknik satu shot dengan menggunakan satu lagu Melayu. Dapatan menunjukkan bahawa melalui aktiviti yang telah diberikan, para pelajar bertindak dengan begitu aktif bagi menyiapkan tugasan tersebut dan memainkan peranan masing-masing di dalam kumpulan walaupun berlaku pelbagai perselisihan. Namun begitu, walaupun para pelajar mempunyai pengalaman membuat tugasan yang hampir sama dalam kumpulan, mereka masih berdedikasi untuk menyiapkan tugasan tersebut kerana beranggapan yang tugasan ini perlu diberikan lebih perhatian serta tumpuan. Selain itu, hasil kajian menunjukkan bahawa para pelajar mempunyai keyakinan diri yang tinggi semasa melakukan aktiviti dan mereka berjaya mengendalikan aktiviti dalam kumpulan dengan memberi dan menerima pendapat daripada orang lain.
Penulisan papan cerita merupakan kajian yang berkaitan antara pantun dan multimedia. Objektif kajian ini ialah mengenal pasti langkah penyediaan papan cerita dan menganalisis perbualan subjek semasa proses penyediaan papan cerita. Sampel kajian seramai 30 orang pelajar Sastera Melayu yang menuntut di Universiti Putra Malaysia. Sampel kajian dibahagikan kepada 3 kumpulan kecil dan dikehendaki menyediakan langkah-langkah bagi menulis papan cerita dan kemudian menerbitkan pantun yang disiapkan dengan berpandukan papan cerita. Hasil kajian mendapati bahawa subjek mempunyai keyakinan yang tinggi dalam penulisan papan cerita pantun dua kerat setelah mendapat keputusan mengenai tema yang ingin digunakan. Selain itu, subjek juga telah menunjukkan minat yang tinggi dalam pembuatan pantun serta subjek dapat bekerjasama dengan ahli kumpulan melalui perbualan mereka dalam kumpulan. Hal ini kerana, subjek banyak bertanya soalan semasa dalam kumpulan dan mereka memberikan pandangan masing-masing semasa perbincangan.
Pantun Melayu merupakan artikel yang mengupas mengenai keunikan pantun Melayu moden dan tradisional. Objektif kajian yang dibuat ialah mengenal pasti jenis makna pantun dan membincangkan ujaran oleh pelajar mengenai pantun dalam kalangan pelajar Korea di hankuk University of Foreign Studies. Kajian ini telah memberi fokus pada analisis wacana interaksi pelajaa dalam kumpulan kceil semasa melakukan perbincangan dan perbualan mengenai pantun. Kajian ini telah melibatkan seramai 18 orang pelajar Korea lelaki dan juga perempuan. Responden yang dipilih adalah dalam kalangan umur 22 tahun hingga 28 tahun dan mengambil kursus perbandingan sastera Melayu dan Indonesia. Antara pantun yang telah dibincangkan ialah pantun nasihat, kasih sayang, pengajaran dan seloka. Hasil daripada kajian menunjukkan bahawa para pelajar mampu mengenal pasti jenis pantun yang diberikan kepada mereka. Mereka dapat membincangkan pantun nasihat, pengajaran, kasih sayang dan pantun kanak-kanak dengan baik sekali dalam kumpulan. Dapatan ini menunjukkan bahawa pelajar korea mampu memahami makna setiap pantun yang diberikan walaupun ianya merupakan teks puisi lama.
Sajak Melayu merupakan artikel yang membincangkan mengenai keunikan sajak Melayu yang berada pada genre Kesusateraan Mleayu dan mempunyai keunikan tersendiri. Objektif kajian ini adalah untuk menganalisis perbualan pelajar dalam membincangkan dua buah sajak oleh A. Samad Said iaitu Jika dan Waris Bertuah. Responden kajian ini terdiri daripada 10 orang subjek yang belajar dalam kursus Kesusasteraan Kontemporari di hankuk University of Foreign Studies, korea. Para pelajar telah diberikan sebanyak dua buah sajak yang ditulis oleh A. Samad Said untuk dibincangkan. Para pelajar telah dibahagikan kepada dua buah kumpulan kecil dan mereka dikehendaki untuk memahami serta membuat perbincangan dalam kmpulan mengenai sajak-sajak tersebut. Dapatan daripada perbincangan tersebut mendapati bahawa para pelajar telah berupaya untuk memberikan maksud bagi sajak-sajak yang telah diberikan. Para pelajar telah berbincang dalam kumpulan dan akhirnya mereka bersetuju dengan makna yang telah diberikan. Melalui perbincangan, para pelajar dapat memberikan keyakinan semasa menjelaskan mengenai sajak Melayu moden dan seterusnya mereka dapat memberikan keyakinan terhadap perbincangan secara lebih telus kerana mereka juga turut menerima kritikan mengenai sajak mereka daripada kumpulan yang lain.
Kata kerja dalam cerita binatang merupakan sebuah artikel yang telah membincangkan mengenai penggunaan kata kerja dalam kalangan pelajar sindrom Asperger. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti kata kerja serta menganalisis perbualan pelajar sindrom Asperger di dalam kumpulan. Subjek kajian ialah para pelajar yang berumur 7 hingga 9 tahun dan mempunyai sindrom Asperger. Para pelajar telah diperdengarkan dengan cerita binatang selama dua minggu dan mereka perlu memberikan pandangan terhadap cerita yang telah didengari. Para pelajar telah berusaha menggunakan kata kerja semasa sesi bercerita dan mereka berjaya menjalankan aktiviti bercerita tersebut. Hasil daripada kajian ini mendapati para pelajar sindrom Asperger sangat berminat dengan aktiviti yang telah dijalankan di dalam kelas dan mereka dapat memberikan perhatian sepenuhnya terhadap pembelajaran dengan mengambil bahagian dalam semua aktiviti yang dirancang di dalam kelas. Selain itu, didapati bahawa para pelajar mempunyai tahap keyakinan yang tinggi tentang aktiviti bercerita kerana mereka boleh menyebut semula kata kerja yang terdapat dalam cerita binatang.
Jurnal Antonim Bahasa Melayu merupakan jurnal yang ditulis kerana antonim merupakan tajuk yang digemari oleh para pelajar di sekolah. Kajian ini dilakukan kerana masih kurang penyeldidikan mengenai bahasa Melayu dalam kalnagan pelajar asing yang mempelajari bahasa Melayu di negara lain. Oleh itu, pengkaji telah memberi fokus pada penggunaan antonim bahasa Melayu dalam kalangan para pelajar di Korea. Hal ini kerana para pelajar Korea mengambil beberapa bahasa asing dalam satu-satu masa dan agak sukar bagi mereka untuk mempelajari bahasa Melayu dan bahasa lain. Objektif kajian ini adalah menganal pasti serta membincangkan penggunaan antonim bahasa Melayu dalam kalangan para pelajar Korea. Kajian ini telah menggunakan 12 pelajar Korea yang terdiri dalam kalangan lelaki dan perempuan sebagai sampel kajian di sebuah kelas peringkat awalan di Hankuk University of Foreign Studies, Korea. Responden yang dipilih berumur 20 hingga 28 tahun. Para pelajar telah diberi pendedahan mengenai antonim bahasa Melayu dan mereka telah diberi masa selama 2 minggu bagi membincangkan mengenai 37 set antonim. Hasil daripada kajian mendapati bahawa para pelajar Korea berupaya untuk menjelaskan antonim bahasa Melayu dan mereka berjaya berbincang mengenai antonim ketika dalam kumpulan. Tambahan lagi, para pelajar turut mempunyai keyakinan yang tinggi dalam menjelaskan makna bagi setiap perkataan dan menggunakan antonim dalam soalan dan ayat.
Penerapan Nilai Sosial Melalui Lakonan Cerita merupakan salah satu cara dalam membantu pelajar-pelajar sindrom Asperger dalam emnjalani kehidupan seharian mereka. Objektif kajian ini ialah untuk mengenal pasti dan menyenaraikan nilai sosial dalam kalangan kanak-kanak sindrom Asperger. 4 orang kanak-kanak yang berumur 7 hingga 12 tahun telah dipilih untuk menjadi responden dan mereka semua adalah dalam kalangan lelaki. Kanak-kanak yang dipilih adalah dalam kalangan kanak-kanak yang boleh bertutur tetapi tidak boleh menumpukan perhatian yang lama semasa belajar. Kanak-kanak ini juga tidak pandai atau tidak tahu cara bersosial dengan orang lain. 3 cerita sosial telah diperdengarkan kepada kanak-kanak dalam tempoh masa 3 minggu. Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa ketiga-tiga cerita sosial ini dapat membantu kanak-kanak dalam kehidupan seharian mereka. Cerita sosial yang bertemakan terima kasih dan bantu membantu dapat memberikan keyakinan kepada kanak-kanak untuk berinteraksi dengan individu lain. Bagi cerita mengani beratur pula menunjukkan disiplin apabila kanak-kanak berhadapan dengan masyarakat luar dan ianya melibatkan keadaan kanak-kanak apabila berhadapan dengan orang lain bagi mendapatkan sesuatu barang. Seterusnya, cerita sosial yang lain berkaitan dengan sikap tolong menolong yang mana cerita ini dapat membantu kanak-kanak untuk bersosial dengan kanak-kanak lain melalui cara tolong-menolong antara satu sama lain. Melalui cara tolong menolong, kanak-kanak dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan di dunia yang sebenar.
Nilai Murni Dalam Peribahasa Melayu merupakan artikel yang menyentuh mengenai peribahasa yang merupakan salah satu cara penyampaian maklumat dnegan menggunakan bahasa yang halus serta memerlukan pengertian yang mendalam. Pengkaji membuat kajian ini kerana tiada lagi kajian yang dibuat mengenai peribahasa dalam kalangan pelajar asing terutamanya peajar Korea. Justeru, objektif kajian yang ditulis ialah mengenal pasti serta membincangkan jenis peribahasa yang mengandungi nilai murni dalam kalangan pelajar Korea. 60 peribahasa telah diperkenalkan kepada 3 kelas bahsa Melayu-Indonesia di hankuk University of Foreign Studies. 20 periabhasa telah dikenal pasti mempunyai nilai murni dan lebihan 40 peribahasa hanya berkaitan dengan kehidupan seharian. Sampel kajian terdiri daripada 42 orang pelajar lelaki dan perempuan yang berumur 22 hingga 27 tahun. Responden yang dipilih adalah berbangsa Korea yang mengambil jurusan bahasa Melayu-Indonesia sebagai major di universiti. Kajian yang dibuat mengambil masa selama 3 minggu dan para pelajar telah mengambil bahagian dalam mengolah ayat serta membuat perbincangan di dalam kumpulan. Hasil kajian menunjukkan bahawa para pelajar memahami peribahasa yang diberikan dan mereka dapat mengaitkan peribahasa tersebut di dalam diri serta kehidupan seharian mereka. Nilai-nilai yang terdapat dalam peribahasa dapat memberikan kesan yang positif kepada pelajar Korea memandangkan mereka baru sahaja diperkenalkan dengan peribahasa. Melalui peribahasa, mereka mrngingat kembali mengani kehidupan dan mengaitkannya dengan diri sendiri.
Buku Wacana Bahasa telah banyak menekankan mengenai aspek wacana dalam diri kanak-kanak dan pelajar asing. Buku ini telah memberi gambaran jelas mengenai wacana bahasa. Semua bab mempunyai isi yang tersendiri dan perbahasan yang kritis. Buku ini mempunyai 9 bab yang dapat membantu pengkaji lain dalam membuat kajian mengenai wacana bahasa. Selain itu, pengkaji telah menggunakan banyak sokongan kajian bagi mengukuhkan lagi dapatan kajian yang diterima. Tambahan lagi, perkara positif yang dapat dilihat pada penulisan penulis ialah penulis berjaya menyampaikan isi-isi yang berkaitan dengan menggunakan ayat yang mudah untuk difahami oleh pembaca. Kekurangan yang dapat dilihat pada buku ini hanyalah berkaitan dengan subjek kajian. Pengkaji banyak menggunakan subjek kajian yang berasal dari Korea dan penulis boleh cuba menggunakan subjek kajian yang berasal daripada negara lain bagi mendapatkan hasil kajian yang lebih menarik lagi.

No comments:

Post a Comment